Aku ada janji makan malam…janjinya jam aku kepada Si dia jam 10malam. Aku di jalan sehala. Meletakkan kereta di petak di berdekatan jejantas sana, aku berjalan di kaki lima. Sebatang kretek terkepit di antara jari telunjuk dan jari hantu belah tangan kanan. Masih boleh disedut lima enam pam lagi. Cuaca semacam lembap, tiada kelibat bintang di atas sana. Tiada juga cahaya bulan, sekarang ini kan hujung-hujung bulan Syaaban, lagi tiga hari puasa. Cahaya-cahaya lampu jalan sumbangan pihak pemerintah yang menerangi sekitar ini. Biasan lampu dari deretan lot-lot kedai juga membantu jarak pandangan. Seberang jalan sana, letaknya salah sebuah institusi pendidikan awam ternama di negara ini. Hebat permandangannya, Tempat berkuliah, beriadah, asrama semacam hotel dua ke tiga bintang. Sekarang musim graduasi, berdasarkan kain rentang tertulis “Majlis Konvokesyen”. Ahh…patutlah ramai orang!
Mat peniaga burger di bawah jejantas baru saja aku lintasi, Mat Nampak tidak menang tangan melayan pelanggan-pelanggan. Rata-rata minah-minah muda yang mengerumi Mat burger ini. Pelajar-pelajar sini barangkali. Kuat makan burger mereka-mereka ini. Sedap mungkin burger Si mat ini. Haa…untung benar Mat burger ini! Ada lessen atau tidak belum tentu lah. Pelik, nak berniaga pun kena mohon lessen. Bukan kata nak tolong kasi modal malah kena bayar lagi. Pelik! Kesian Mat burger, nak buat pusing modal lagi, nak bayar apa-apa lagi. Takde hal Mat, perlahan-perlahan lu kasi naik itu harga burger Mat! Biar cepat kaya Mat. Kalau orang tanya, cakap saja semua harga barang sudah naik! Cukup..tiada alasan lain lagi yang paling waras dan munasabah untuk diterima akal. Selamat berjaya Mat.
Aku di depan lot kedai yang aku janjikan dengan Si Dia. Sebuah lot francais kepunyaan taikun hebat di Negara kita. Tergecat aku kat situ. Hanya hand phone di tangan tanpa kretek. Kretek tadi dan selesai tugasnya, puntung nya aku buang ke longkang besar sana. Kemana mengalirnya longkang itu aku kurang periksa. Harapnya puntung rokok aku yang kurangnya satu inci setengah itu tidak mengganggu kelancaran trafik longkang. Aku jamin, longkang ini diselenggara dengan baik oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Warga lalu lalang melintasi aku. Ada yang berjalan seorang, ada berpasangan, ada juga berpasukan. Ada dari sana ke sini, ada dari sini ke sana. Tidak menentu arah mereka. Tidak seimbang antara belah sana dan belah sini. Meriah suasana ini. Bingit dengan orang-orang, kereta, motor, lori dan bas. Bunyi juga muzik yang kurang jelas. Posisi aku tidak menggangu trafik para warga yang berjalan kaki di situ. Berpandukan hand phone di tangan, sekarang sudah 10.02malam. Sebetulnya aku tetapkan cepat masa 10minit. Sengaja aku cepatkan masa 10minit untuk menyelamatkan diri daripada keterlambatan. Maka sebetulnya, masa sekarang adalah 9.48malam. Si dia tidak lewat, aku yang awal. Bukan salah sesiapa. Sudah menjadi tabiat sebahagia orang-orang kita menipu dengan diri sendiri cuba mendahului masa. Pada aku, aku cuba memintas waktu malah percepatkan masa bagi aku sebagai langkah berjaga-jaga. Lagi sekali aku cakap..mengelakkan keterlambatan.
Kalau zaman-zaman sekolah asrama dulu bingit loceng ala-ala siren bangunan terbakar yang mengejutkan aku untuk subuh berjemaah. Waktu di asrama kalau tak bangkit dari tidur, aku yakin getah paip akan menyinggah di bontot, dibedal oleh Ustaz Mazlan. Pedihnya berhari-hari. Kini, rutin aku isnin hingga jumaat – hampir setiap hari aku bangun dari tidur jam 7pagi – Hand phone yang berperanan seperti Ustaz Mazlan yang kejutkan aku dengan laungan runut flighting of the bumble bee..mengiau – ngiau lebah bunyi nya. Sangat menjengkelkan. Itulah aku, lagu yang begitu unik pun akan kedengaran sumbang bila dengar pada masa yang tidak ngam dengan aku. Aku meringkuk sedar tapi mamai, waktu yang betul belum jam 7pagi..sebetulnya, 6.50pagi. Permandangan luar jendela masih kelam masih gelap – belum masuk syuruk. Aku sedar itu semua. Dalam separa khayal, mata kuyu, badan kaku masih lagi kejang. Aku sedar! Namun ‘Si Ustaz mazlan’ sudah menunjukkan, jam sudah 7 pagi. Aku bangun juga untuk apa-apa keperluan zahir dan batin. Tiada lagi rotan getah, disiplin kena bangkit juga. Itulah dia, rezab masa ada 10minit untuk proses-proses yang menyukarkan itu. Itu contoh keperluan kepada skandal penipuan masa. Tipu dalam sedar. Mahu sahaja aku hentak hand phone tu. Apa boleh buat, itu pemberian seseorang. Seseorang yang istimewa namum tidak setia.
Di depan lot-lot kedai, aku mencari tempat yang sesuai dan strategik. Aku bertenggek di penghadang dekorasi bahu jalan. Indah dekorasi ini. Mesti mahal harganya dekorasi ini. Kontraktor mana yang menjayakan projek ini. Berapa sub atas sub projek ini. Terhias cantik pepohon untuk berteduh jika sedang matahari terik. Tapi sekarang aku di jam sekitar kemalam-malaman maka tiada gangguan panas terik matahari. Aku cuba menyesuaikan dan menyelesakan diri juga menyelaraskan posisi. Melunjurkan kaki lalu menyeluk saku jeans aku mengeluarkan kretek dan lighter. Dalam posisi yang bagus dan terbaik terus aku cucuh sebatang kretek. Handphone ada sudah dipoketkan. Kretek yang aku sedang nikmati ini, aku mengaku aku beli kretek seludup – harum,gurih,nikmat – tidak melebihi 20mg TAR 1.5mg nikotina.
Kretek, rokok, cigar, paip kata orang merugikan. Rugi duit, rugi kesihatan. Itu masing-masing punya pasal lah. Aku beli kretek tak guna duit haram. Aku bekerja. Bekerja secara sah dan halal. malah 20peratus pendapatan aku ditahan oleh pihak kerajaan sehingga kesekian umur. Itu hal kerajaan, itu hak mereka. Biarkan mereka memanipulasikan duit-duit kita yang berbillion jumlahnya itu. Apa perlu kisah di mana mereka mahu melaburkannya. Apa pun, pada kesekian umur, duit itu hak mutlak kita para pencarum. Jangan ragu, masa itu akan sampai. Kalau umur panjang. Kalau rasa umur tidak panjang, wariskan kepada mereka-meraka yang berkenaan.
Sambil berkretek dan mengeluarkan asap-asap tebal dalam kedudukan dan posisi yang pada aku terbaik setakat ini, aku menunggu Si dia. Warga-warga yang lalu lalang melintas aku, tidak menunjukkan tanda-tanda asap dari kretek aku menggangu. Aku cukup berhati-hati menghembus asap. Kalau-kalau ada menimbulkan ketidak kelesesaan warga-warga. Aku hormat warga-warga lain yang tidak berkretek.
Kereta, motor, lori dan bas lalu lalang di jalan besar sana memeritkan suasana di situ. Si dia belum kelihatan, belum ada tanda yang menunjukkan Si dia akan sampai dalam masa terdekat ini. Barangkali Si dia masih berurusan. Aku lepak menunggu penuh santai. “Come here..baby”, ahhh..suara keramat milik Steven Taylor. muzik sudah mula kedengaran. Ya..ini mainan instrument-instrument oleh Joe Perry, Brad Whitford, Tom Hamilton dan Joey Kramer . Bit-bit dan strok- strok masing-masing mula berperanan memberikan melodi. Ahh, ini lagu Crazy. Terbitan tahun 1994. Info yang aku dapat bertahun dulu, klip video lagu ini bertemakan jiwa remaja ‘les’ dan ada kena-mengenakan dengan shampoo keluaran syarikat Protect & Gamble -Pentene. Terima kepada yang menyumbang 50sen untuk lagu ini di Juke Box lot kedai sana. Ingin sahaja aku memekik sama mengiringi Steve Taylor menyanyi bersama. Aku sabar, aku tenang, aku layan dalam hati sahaja. Dahsyat liriknya, “That’s kinda lovin’…turn the man to a slave…that kinda lovin’ sends a man right to his grave…” Melayan lagu ini membuatkan aku lupa, aku sedang menunggu Si dia yang belum lagi tiba..
Malang…sungguh malang keindahan muzik rock n’ roll ini terganggu oleh Mat-mat yang turut bertenggek tidak jauh dari aku…
sambung nanti ahhh..
macam kemunculan Ramadan - owh rupanya belum terlupa kata laluan.